Tag: Pasir Gudang

  • Tinjauan Perkembangan Tapak Penjaja Merbah – Murai, Scientex

    Tinjauan Perkembangan Tapak Penjaja Merbah – Murai, Scientex

    Petang semalam (Sabtu, 25 September) saya berkesempatan meninjau perkembangan semasa kerja-kerja pembinaan tapak penjaja yang baharu di Jalan Merbah-Murai di Persiaran Scientex, Taman Scientex.

    Projek ini mendapat peruntukan daripada pihak Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT), dan dilaksanakan kerja-kerja pembinaannya oleh pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

    Projek ini ada sedikit mengalami kelewatan memandangkan pelaksanaan PKP & PPN sebelum ini.Namun berdasarkan lawatan saya semalam, saya yakin projek ini dapat disiapkan kerja-kerja pembinaannya dan diserahkan kepada pihak Bandaraya dalam masa terdekat.

    Ianya dibina sebagai penyelesaian kepada isu serta permasalahan yang melibatkan penjaja dan peniaga kecil sepanjang Persiaran Scientex.

    Ini bagi memastikan semua pihak kelak mendapat manfaat termasuklah hak penjaja dan peniaga kecil, keselesaan dan keselamatan para pengunjung, ketenteraman penduduk kawasan sekitar, dan tanggungjawab pihak Bandaraya sendiri.

    Sejak dari awal saya diberi kepercayaan untuk menjadi Ahli Majlis bagi kawasan tersebut, isu penjaja di Persiaran Scientex ini memang sangat mendapat perhatian saya.

    Menjadi komitmen peribadi saya untuk mendapatkan penyelesaian menang-menang kepentingan semua pihak terlibat.

    Moga-moga tapak baharu ini akan memberi keselesaan kepada penjaja dan peniaga kecil untuk berniaga dengan lebih baik, di samping memastikan aspek keselamatan dan kenteteraman pembeli, pengunjung dan penduduk sekitar akan lebih terjamin, in sha Allah.

  • PROFIL KETUA KAMPUNG DALAM BAHAGIAN PASIR GUDANG 2021/2022

    👉Sila Rujuk Link ini untuk Senarai Ketua Kampung TERBARU bagi penggal 2023/2024

    UMNO Bahagian Pasir Gudang ingin mengucapkan tahniah dan selamat maju kepada 5 orang Ketua Kampung yang baharu dilantik bagi penggal 2021/2022.

    Pelantikan mereka ini sememangnya tepat dan layak memandangkan setiap calon melalui proses temu duga dan tapisan ketat oleh Pejabat Daerah Johor Bahru.

    Melalui kepimpinan, pengalaman dan keberadaan mereka dalam masyarakat, ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab bagi setiap Ketua Kampung bagi memberikan khidmat terbaik kepada setiap masyarakat tanpa mengira latar belakang.

    Tahniah YAB Datuk Hasni Mohamad, Menteri Besar Johor dan Kerajaan Negeri di atas keputusan untuk tidak tunduk kepada sebarang tekanan dengan meneruskan lantikan Ketua Kampung baharu bagi menyelesaikan pelbagai urusan rakyat yang tertangguh sebelum ini.

    👉Sila Rujuk Link ini untuk Senarai Ketua Kampung terbaru bagi penggal 2023/2024

  • Teks Ucapan Penuh Perasmian Mesyuarat Umno Bahagian Pasir Gudang

    Teks Ucapan Penuh Perasmian Mesyuarat Umno Bahagian Pasir Gudang

    Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
    Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia
    2 Januari 2021

    Para perwakilan yang dihormati;

    A) PEMBENTUKAN KERAJAAN

    Perbezaan paling ketara antara perhimpunan kali ini dengan tahun lalu adalah, kali ini kita berhimpun sebagai Kerajaan, berbanding sebagai pembangkang.

    Terlalu banyak perkara yang telah berlaku sepanjang setahun ini. Selain pandemik COVID-19 yang sangat menguji kita semua, pentas politik tanah air juga tidak sunyi dengan babak-babak yang pelbagai. Ada yang mencemaskan. Ada yang merimaskan. Ada yang baik. Ada yang jelik.

    Untuk UMNO, kita turut menyaksikan pelbagai perkara berlaku kepada kita. Kini, UMNO telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan bermula Mac 2020 yang lalu. Akan tetapi, walaupun UMNO menjadi kerajaan adalah sesuatu yang positif, ada beberapa perkara yang mesti kita ingat.

    Pertama, ingatlah yang kita ini membentuk Kerajaan bukan kerana kita memenangi pilihanraya. Kita sebenarnya tewas dalam gelanggang demokrasi pada 2018. Kita ditolak. Cuma, kita bernasib baik kerana Kerajaan PH sangat tidak berpengalaman. Mereka kemaruk kuasa. Mereka alpa dengan kewajipan. Nikmat berkuasa menyebabkan mereka saling bercakaran. Sehingga mereka terhukum dengan tindakan sendiri.

    Bagai antan bertingkah di lesung, ayam yang kenyang. Kerana mereka bercakaran, akhirnya kita yang untung. Tetapi, apalah yang hendak dibanggakan dengan keadaan sebegini.

    Kedua, kita menjadi pemerintah bukan kerana kita kuat, tetapi kerana musuh kita yang lemah dan berpecah. Kelemahan musuh telah dieksploitasi dengan kemahiran pencak silat politik yang luar biasa oleh sebahagian daripada ahli politik kita. Sehinggalah tumbangnya PH dan terbentuknya PN. Bukan kerana kepercayaan rakyat kepada UMNO. Ia bukan suatu pencapaian yang kita patut berbangga atau mendabik dada kerananya.

    KEMBALI KEPADA REALITI

    Oleh yang demikian, hari ini saya ingin mengajak semua perwakilan untuk kembali kepada realiti yang sebenar.

    1. Pertama, kita mesti berpijak di bumi yang nyata. Sekali pun UMNO adalah dalam kerajaan memerintah, kita tidak boleh sesekali berlagak tuan. Ujian sebenar UMNO menanti di medan pilihanraya akan datang. Janganlah kita lupa bahawa kuasa yang kita miliki waktu ini, dirampas tanpa mandat rakyat yang sebenar. Ingatlah, akhirnya, dalam sedikit masa lagi, rakyat jua yang akan menentukan destinasi UMNO seterusnya.
    2. Kenapa saya mengajak perwakilan untuk berpijak di bumi yang nyata ini dan memahami realiti sebenar kedudukan politik semasa?
    3. Sebabnya hanya satu. Kerana saya tidak mahu wujudnya sikap sombong dalam diri kita. Sikap lupa daratan. Sikap tuan yang senantiasa hebat, dan yang tidak berkesudahan. Hikmah Melayu berpesan, “bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya”. Namun kita bertindak sebaliknya.
    4. Kita berfikir, bertindak dan bercakap seolah-olah kita menguasai Kerajaan. Kita juga semacam telah melupakan langsung usaha pembaharuan parti. Kita lupa kita pernah dihukum rakyat. Jika kita yang berkuasa dahulu boleh tersungkur dan kalah, apa jaminan yang ia tidak akan berlaku sekali lagi.
    5. Apatah lagi bila kita hanya dilayan sebagai ‘penumpang’ dalam Kerajaan sekarang.

    Tuan-tuan dan Puan-puan;

    C) PEMBAHARUAN PARTI

    Yang lebih mencemaskan saya ialah jika kita tidak lakukan apa-apa kepada pembaharuan parti.

    1. Lihat sahaja semenjak UMNO mendukung Perikatan Nasional, islah dan pembaharuan UMNO kurang kedengaran. Seolah-olah masalah sebenar UMNO yang telah menyebabkan UMNO kalah, telah selesai sebaik sahaja menjadi Kerajaan. Tiada siapa lagi yang bercakap tentang usaha reformasi UMNO. Seolah-olah UMNO ini terus sempurna.
    2. Adalah Sangat menyedihkan jika UMNO lupa kepada kepentingan pembaharuan dan pembaikan parti. Kerana tiada jalan terbaik dan terpenting untuk menguasai Kerajaan pada masa hadapan kecuali UMNO benar-benar berubah dan memaparkan keunggulan baru.
    3. Kembali kepada asasnya. Kembali menjadi jurucakap bangsa. Kembali menjadi parti yang diyakini bangsa. Kembali menjadi pusaka hati bangsa.

    (a) Pengislahan UMNO

    1. Namun, tidak dinafikan jalan islah untuk UMNO itu banyak sekali hambatannya. Seperti padi hampa, semakin lama semakin mencongak.
    2. Saya faham UMNO ini besar. Dan kerana ia besar, bukan mudah untuk kita mengolah dan mengubahnya semula. UMNO telah menjadi institusi kepada bangsa Melayu, yang lama sarat dengan budaya, pemikiran, keahlian dan segala macam pancaroba yang menjadikannya tidak luwes untuk berubah. Jadi, UMNO sangat memerlukan masa, iltizam, fokus dan kemahuan luar biasa untuk berubah.
    3. Walaupun jalan Islah itu tidak mudah, namun tanpanya UMNO tidak akan menjadi lebih baik. Tanpa Islah, UMNO tidak akan dapat meyakinkan bangsa Melayu untuk mendukungnya, apatah lagi meyakinkan rakyat Malaysia untuk menerimanya.
    4. Saya tidak akan jemu menyeru kepada islah ini. Islah itu jalan pembaikan yang mesti berlaku kerana desakan persekitaran yang semakin berubah. UMNO tidak boleh terus ‘changeless’ dan ‘directionless’ sebegini. Tanpa Islah, UMNO akan menjadi parti yang pasti luput dek zaman.
    5. Hujan panas itu permainan hari. Susah senang itu permainan hidup. Demikianlah sunnahtullah. Dan demikian jugalah Islah UMNO ini. Sekalipun Islah itu sukar, janganlah kita tidak mencuba dan berusaha menjayakannya.
    6. Ia menuntut kerja keras, nilai baru, kecerdasan terbaik, iltizam dan kesungguhan untuk menjadi lebih unggul. Tanpa itu semua, parti ini tidak akan mempunyai apa-apa keunggulan. Tanpa keunggulan baru, UMNO akan menua dengan terus bernostalgia dengan pencapaian lepas.
    7. Untuk ke sekian kalinya, saya mengajak kita semua kembali membetulkan UMNO ini. Mega mendung yang menyelubungi UMNO selama ini mesti segera berakhir. Dengan Islah, insya-Allah awan mendung akan mengirim hujan, sinar matahari akan membawa cerah, air yang surut mengarak pasang, muara sungai mencipta lembah jua.

    (b) UMNO Sebagai Parti Penengah dan Berpendirian Sentris

    1. Perkara kedua yang ingin saya utarakan pada hari ini ialah betapa pentingnya UMNO untuk terus menjadi parti penengah, berpendirian sederhana dan sentris. Kita mesti menjadi parti kebangsaan yang memperjuangkan politik pertengahan dan kesederhanaan.
    2. Bersifat sederhana dan berpendirian sederhana itu memang telah menjadi DNA UMNO. Masakan UMNO mampu selama 6 dekad, menjadi parti induk BN jika ia bukan sederhana dalam pendirian dan tindakannya.
    3. Selama berpuluh tahun, pelbagai parti politik dengan pelbagai ideologi dan fahaman, dari seluruh pelosok negara, kita gemblengkan untuk bekerjasama bagi mengurus tanahair ini dengan aman dan berjaya.
    4. Mereka yakin dengan formula UMNO. Tetapi yang lebih penting, mereka yakin dengan pendirian UMNO, walaupun sebagai parti kebangsaan tetapi tegar dengan sikap yang sederhana dan ideologi konservatif yang progresif.
    5. UMNO lah pelopor politik permuafakatan dengan pendirian sentris. Rekod UMNO tidak boleh disanggah. Sepanjang UMNO memerintah, jalan politiknya adalah hikmah. Mengiktiraf hak dan keperluan semua. Menolak politik ras dan agama yang ekstrem atau melampau.
    6. Kerana hikmah kesederhanaan inilah, pelbagai bangsa hidup dengan rukun dan damai di tanah air kita. Tiada sekali pun UMNO dan BN membenarkan konflik perkauman tercetus, kecuali peristiwa 13 Mei yang semua orang tahu, bukan dimulai oleh orang Melayu.
    7. Tiada satu kaum pun, atau daerah geografi, yang tidak diwakili kepentingannya dalam kabinet Malaysia pimpinan UMNO. Benar dalam masa 60 tahun tersebut, UMNO tidak sempurna dan tidak terlepas dari segala khilaf.
    8. Pasti ada perhitungannya yang tersasar dan yang tidak sempurna. Dan adalah amat mustahil semua tindakan UMNO akan memuaskan hati atau menggembirakan semua pihak setiap masa. Namun sepanjang UMNO memerintah, kejayaan mengurus kepelbagaian Malaysia adalah sangat luar biasa. Malah, menjadi suri teladan kepada banyak pihak.

    Tuan-tuan dan Puan-puan;

    D) KEPENTINGAN JALAN TENGAH

    Kenapa pada hari ini saya menyeru UMNO agar kembali kepada jalan sederhana?

    Ini kerana telah ada kedengaran suara dan persepsi yang mendakwa bahawa UMNO melalui kerjasamanya dengan PAS, telah mula beralih menjadi parti “ultra Melayu Islam”.

    1. Ramai kelas menengah dan atasan Melayu dan bukan Melayu yang khuatir UMNO telah mula menggunakan naratif politik identiti secara sempit dan berlebihan.
    2. Malah ada yang mendakwa UMNO kini memainkan sentimen politik identiti sebagai senjata demi kemenangan politik jangka masa pendek. Saya ingin menegaskan bahawa populisme berasaskan ras dan kaum atau ethno-populism bukan cara UMNO untuk menawan dan mengurus Malaysia.
    3. Saya akui bahawa politik identiti adalah sebahagian dari DNA UMNO. Malah DNA pelbagai parti politik lain pun di Malaysia. Tetapi ia tidak pernah digunakan dengan cara yang ekstrem atau dengan cara yang menidakkan kepentingan bangsa lain. Yang paling utama, ia tidak pernah dijadikan instrumen menzalimi puak dan kaum tertentu.
    4. UMNO sedar, jika ia ingin berkuasa semula, maka formulanya hanya satu. Orang Melayu bukan sahaja mesti bersatu, tetapi orang Melayu mesti memeta jalan untuk menguruskan Malaysia bersama-sama bukan Melayu. Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, seliang bagai tebu.
    5. Demi kesejahteraan tanahair ini, orang Melayu mesti mencari jalan untuk melakukan kerjasama strategik dengan semua pihak dan dengan semua kaum. Bukan sekadar kerjasama politik, tetapi perpaduan yang sebenar-benarnya.
    6. Inilah jalan ke hadapan. Tiada Pelan B dan Pelan C. Hanya satu Pelan. UMNO dan pelbagai parti lain, mesti berpadu dan berkongsi kuasa untuk Malaysia. Seperti tertubuhnya Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Malah formula itu jugalah yang cuba diciplak oleh PH, namun gagal.

    E) PENGHARGAAN KEPADA PARTI KOMPONEN BN

    1. Di kesempatan ini, saya zahirkan betapa UMNO sangat berterima kasih dengan MCA dan MIC kerana terus mendukung politik sederhana dan berhikmah melalui Barisan Nasional. Mereka tidak meninggalkan UMNO di saat paling sukar. Tidak seperti yang lain, yang, bukan sekadar keluar BN, tetapi mengkhianati UMNO. MCA dan MIC adalah rakan yang setia.
    2. Atas dasar itu, marilah kita semua para perwakilan sekalian, memperbaharui janji kita. Bahawa dalam segala kelemahan dan kebaikan lepas, kita akan terus berpegang kepada semangat bersederhana dan sentris serta bermuafakat.
    3. Agar melaluinya akan berhasillah Malaysia yang lebih baik dan sejahtera. Tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat. Jangan sama sekali kita membelakangkan aspirasi setiap warganegara Malaysia yang pelbagai.
    4. Teruslah memilih jalan sederhana dan jalan berhikmah. Kerana ‘wasatiyyah’ dan ‘tassamuh’ itu adalah ajaran agama kita yang telah sebenarnya menjadi nilai bangsa dan budaya masyarakat kita.
    5. Insyallah, UMNO akan terus setiakawan dengan masyarakat bukan Melayu, kerana perjalanan politik kita yang berpuluh tahun itu sarat dengan cerita terbaik sebagai sebuah masyarakat majmuk yang dicontohi serata dunia.

    Para perwakilan yang saya kasihi;

    1. Sama-samalah kita bangunkan ketumbukan politik yang bukan sahaja sederhana dan progresif, tetapi juga inklusif. Marilah kita lancarkan ikhtiar memerangi segala bentuk ‘kejahilan’ dan politik ekstrim serta ultra, yang dipelopori oleh mereka yang sempit fikrah dan tertutup mindanya. UMNO mesti menjauhkan diri dari mereka yang ingin memesong UMNO dengan politik sempit, dangkal dan jahil.
    2. Kita tidak akan sama sekali lupa pada tanggungjawab kita untuk bangsa Melayu. Kita semua lahir, membesar dan dewasa dalam persekitaran UMNO dan perjuangan Melayu. Lalu tanggungjawab mengupayakan Melayu itu adalah sesuatu yang bersifat asas, rukun dan dasar dalam agenda kehidupan kita.
    3. Marilah kita berazam untuk melipatgandakan usaha ini semua dengan penuh keadilan. Mengukuhkan pengaruh dan kedudukan Melayu bukan bermakna menafikan hak dan kepentingan bangsa lain. Atas sebab itu UMNO akan terus mempertahankan BN.

    F) MUAFAKAT NASIONAL, BUKAN PERIKATAN NASIONAL

    1. Pada masa yang sama, kita tetap mengukuhkan permuafakatan bersama PAS dalam Muafakat Nasional. Tetapi tidak untuk menyertai Perikatan Nasional. Dan akan terus bertanding sebagai BN dalam pilihanraya yang akan datang.
    2. Walaupun bukan sebagai sebuah entiti politik berdaftar, MN adalah wadah permuafakatan semua pemegang taruh Melayu tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, demi kelangsungan kepentingan Melayu, Islam dan tanahair.
    3. UMNO dan PAS serta sesiapa sahaja yang menyertainya, bertanggungjawab menjadikan MN sebagai sebuah platform nasional yang memberi daya perjuangan kebangsaan dan memartabatkan Islam. Kerana itu, UMNO sangat jelas dengan pendiriannya. Mengukuhkan MN adalah keutamaan. UMNO juga memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).
    4. Sebab utamanya kerana PN tidak mempunyai daya dan kekuatan yang sebenar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Peranan tersebut telah diterajui oleh MN. PN juga tidak akan mampu menarik sokongan bukan Melayu kerana dilihat sebagai perikatan politik parti berteras Melayu dan tidak lebih daripada itu.
    5. Perwakilan bukan Melayu dalam PN seperti hanya penyeri agar PN tampak berseri dengan dua tiga Menteri bukan Melayu. Apatah lagi apabila PN tertubuh secara ad hoc hanya di peringkat ahli-ahli Parlimen, tanpa rujukan kepada ahli-ahli, tanpa idealisme dan ideologi yang jelas dan tanpa misi yang strategik untuk Malaysia.

    Tuan-tuan dan Puan-puan,

    G) JALAN KEDEPAN: PENGUKUHAN BARISAN NASIONAL

    1. Barisan Nasional adalah jenama politik, ‘a political brand’ yang sangat sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia. Ideologinya sederhana, pendekatannya berasas muafakat dan pentadbirannya berhasil membangunkan Malaysia moden.
    2. BN mesti terus menjadi brand politik yang diperjuang dan di kukuhkan oleh UMNO, MCA dan MIC. Masakan hanya kerana tewas sekali, kita tinggalkan BN, membiarkan ia hidup segan mati tak mahu. Kerana itu BN mesti di gelorakan semula. Ia mesti diperjuangkan. Ia mesti menjadi wadah UMNO untuk memberi solusi kepada kemaslahatan Malaysia yang majmuk.
    3. Saya telah tegas dengan pendirian bahawa UMNO dan PAS adalah kekuatan politik yang ampuh. Namun saya juga tegas mengatakan bahawa UMNO memerlukan BN untuk mengurus sokongan bukan Melayu, Sabah serta Sarawak.
    4. Tiada parti dapat membentuk Kerajaan tanpa dokongan masyarakat pelbagai kaum. Kerana itu, UMNO mesti kembali ghairah mengukuhkan BN dan bukannya wadah lain. BN ini bukan hanya simbol dan logo yang kita pacak dan kibarkan hanya waktu pilihanraya.
    5. Ia adalah ideologi yang, selama berpuluh-puluh tahun, telah mengikat pelbagai kaum di Malaysia untuk menjaga antara satu sama lain, saling berlebih kurang dan berkongsi dalam kelebihan dan kekurangan demi sebuah kecukupan untuk hidup harmoni.

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    Sebagai pengakhiran, UMNO mesti bangkit kerana, sudah menjadi resam dan adat orang Melayu, untuk kembali bingkas sesudah tertewas.

    Pada kita orang Melayu, jatuh itu biasa, bangun itu mesti. Kalah itu adat. Bangkit itu pasti. Kita mesti pastikan UMNO kembali menjadi sebuah parti yang mempunyai asas ideologi yang jelas dan kuat.

    UMNO bukan parti untuk sesetengah pihak sahaja. Tetapi parti yang kuat dan memberi manfaat kepada semua. Insyallah itulah yang UMNO akan lakukan. Semangat Malaysia yang sebenar.

  • Ucapan Selamat Berpuasa Dari Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang

    Ucapan Selamat Berpuasa Dari Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang

    Marilah kita semua mengambil seberapa banyak manfaat bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan amalan dan ibadat.

    Pastinya Ramadan kali ini dalam sebuah ‘normal baharu’ bagi kita semua khususnya di Pasir Gudang. Yang menjadi kebiasaan seperti dahulu, sudah tidak lagi sama dengan keadaan hari ini.

    Tiada lagi kemeriahan di bazar. Tiada lagi persiapan untuk berterawih di masjid pada waktu ini. Pastinya semua ini amat kita rindui, tetapi inilah pengorbanan untuk kita memutuskan rantaian wabak ini.

    Saya berdoa kepada Allah semoga Allah memberkati dan menjauhkan kita semua daripada wabak Covid19 ini.

    Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan.

  • Lebih 15,000 Hadiri Rumah Terbuka Adun Permas

    Lebih 15,000 Hadiri Rumah Terbuka Adun Permas

    PASIR GUDANG, 9 JULAI – Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Permas merangkap Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 15,000 masyarakat daripada pelbagai kaum dari seluruh Pasir Gudang.

    Rumah terbuka yang bermula jam 11 pagi dan berakhir 3 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra selain menikmati pelbagai juadah makanan serta minuman yang disediakan.

    Berkonsepkan ‘Raikan Syawal dengan Muafakat’, majlis itu menyajikan pengunjung dengan pelbagai jenis hidangan serta persembahan.

    Wakil rakyat yang disayangi ramai itu segak memakai baju berwarna kelabu dan isteri, bersama pemimpin UMNO Bahagian Pasir Gudang turut beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.

    Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan keroncong dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan artis dari Yayasan Warisan Johor.

    Bagi pengunjung pula, program itu merupakan acara yang wajib dikunjungi setiap tahun oleh mereka.

    Selain dapat berjumpa dengan Menteri Besar secara lebih dekat, juadah yang disediakan juga menarik minat pengunjung untuk hadir.

    Menurut seorang pengunjung Salleh, 42, ini merupakan kali ketiga dia datang ke rumah terbuka ini.

    “Menu yang paling saya suka adalah satay. Walaupun orang beratur panjang saya tetap akan tunggu,” katanya.

    Kalaivani, 35, pula berkata, rumah terbuka itu wajib dikunjungi oleh dia sekeluarga setiap tahun.

    “Saya juga dapat melihat dengan lebih dekat Menteri Besar yang sebelum ini hanya boleh dilihat di kaca televisyen,” katanya.

    Bagi seorang pengunjung lain, Chua, 28, dia gembira kerana dapat bersama-sama dengan masyarakat melayu bagi meraikan sambutan hari raya dengan aman.

  • LEBIH 1000 PENERIMA VOUCHER BR1M DI KAWASAN DUN PERMAS

    LEBIH 1000 PENERIMA VOUCHER BR1M DI KAWASAN DUN PERMAS

    12 MEI 2016 – Seramai lebih 1000 orang penerima BR1M di dalam kawasan ADUN Permas hadir bagi menerima voucher di pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini pagi tadi.

    Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Abdullah bin Abdul Rahman Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang selaku wakil rasmi YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, ADUN Permas merangkap Menteri Besar Johor.

    Menurut Lalida A/p Athi, 52 dari Taman Scientex berkata, dia sangat berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana BR1M sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan dalam menangani kos sara hidup.

    Safiah bt Dimat, 57 seorang suri rumah berkata dengan bantuan yang diperolehi ini, dia dapat membantu suaminya dalam membeli barangan dapur sekaligus mengurangkan kos perbelanjaan mereka sekeluarga.

    Bagi penerima di bawah kategori individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM400.

    Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000 manakala bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800.

  • Roadshow BMJ Di Terminal Pasir Gudang

    PERKHIDMATAN BAS PERCUMA.
    Bas Muafakat Johor akan mula beroperasi pada 1 April 2016. Meliputi kawasan MBJB, MPPG, MPJBT dan MPKu. Boleh layari www.basmuafakatjohor.com utk mendaftar & mengetahui laluan laluan bas tersebut.

    Harga kad;
    1. RM10 (18-59 tahun)
    2. RM 5 (7-17 tahun, OKU & Warga Emas)
    3. Percuma utk kanak-kanak berusia 6 tahun dan kebawah.

    Warganegara Malaysia layak memohon.
    Kad blh digunakan selama 365 hari dari hari pembelian. Kena bayar kad shj.

    ROADSHOW BAS MUAFAKAT JOHOR (BMJ)
    Tarikh : 29/03/2016
    Tempat : TERMINAL PASIR GUDANG
    Masa : 9.00am -5.00pm


    Blh daftar secara walk-in di kaunter roadshow bagi yg belum mendaftar online. Kad Muafakat Johor blh dpt sertamerta.

  • Perpaduan Cawangan Kekuatan Umno Bahagian Pasir Gudang

    Perpaduan Cawangan Kekuatan Umno Bahagian Pasir Gudang

    IMG_20160212_230849

    12 FEBRUARI, Taman Air Biru – “Rakyat boleh marah kepada saya, tapi jangan marahkan parti” kata Menteri Besar Johor yang juga merupakan ADUN Permas serta Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang sempena program perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan di sekitar Zon Air Biru.

    “Cawanganlah yang menggerakkan bahagian dan seterusnya diperingkat bahagian akan membawa ke perhubungan negeri kemudian barulah kerajaan negeri yang diperintah parti UMNO akan membawa semua suara dan diterjemahkan ke bentuk pentadbiran” katanya

    Beliau menyatakan bahawa perpaduan sedia ada dalam peringkat negeri, bahagian dan cawangan perlulah dijaga dan dikekalkan demi kesejahteraan rakyat Johor. Walau pelbagai isu dan persepsi negatif yang timbul di peringkat nasional ia seharusnya tidak memecahbelahkn perpaduan sedia ada.

    Malah seharusnya pimpinan rakyat sedia ada bersama rakyat membantu mengukuhkan perpaduan tersebut.
    Sememangnya setiap orang mempunyai pandangan masing-masing namun perbezaan pandangan ini tak seharusnya menyebabkan kita berpecah.

    Jangan termakan persepsi negatif yang sering dimarakkan pihak pembangkang. Kalau bukan kita yang mengukuhkan perpaduan, siapa lagi yang akan kita harapkan.

  • Pasir Gudang Bandar Sejahtera Dan Tersohor

    Pasir Gudang Bandar Sejahtera Dan Tersohor

    PASIR GUDANG: Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) terus proaktif dalam menyusun langkah bagi memberi perkhidmatan terbaik buat penduduk Pasir Gudang. Menurut YDP MPPG, Md Za’nal bin Hj Misran antara langkah yang diambil oleh MPPG antaraya melalui program Mesra Rakyat, Mesra Industri dan mesra Peniaga Kecil dengan menggunakan konsep ‘townhall’.

    Selain itu, program perkongsian perlaksanaan bersama komuniti yang melibatkan JPP, Ahli Majlis dan penduduk setempat seperti taman komuniti dimana komuniti setempat akan menguruskan tempat berkenaan dan pihak MPPG hanya membekalkan pokok dan baja. Ini akan memberi komuniti setempat lebih menghargai sesuatu kawasan jika ia dijaga sendiri oleh mereka.

    Program 5s masjid antara keutamaan yang ditekankan oleh MPPG dimana perkongsian ilmu berkenaan penyusunan file dan pendekatan terbaik untuk menjadikan masjid mesra pengguna yang boleh memberi keselesaan kepada jemaah.

    Pada tahun 2015, MPPG telah mewujudkan whatsapp group sebagai langkah perkongsian pemantauan untuk menjadikan masyarakat mata dan telinga supaya visi MPPG untuk menjadikan Pasir Gudang bandar mampan yang meliputi sektor pembangunan, ekonomi dan alam sekitar terus tercapai.

    Kutipan anggaran cukai juga meningkat dari RM 101 JUTA kepada RM 121 JUTA dan ini menunjukkan kepercayaan dan permuafakatan penduduk Pasir Gudang yang percaya terhadap pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam seperti pembinaan Dewan Taman Scientex yang menelan belanja sebanyak RM 2.3 Juta dan bantuan RM 1Juta dibantu oleh pihak Kerajaan Johor.

    Turut hadir dalam Program Gerak Mesra Perdana MPPG Dan Perasmian Dewan Taman Scientex yang telah disempurnakan oleh YAB Dato Mohamed Khaled Bin Nordin, ADUN Permas merangkap Menteri Besar Johor di Dewan Taman Scientex Pasir Gudang.

  • Perasmian Prasarana Berbumbung Pasar Borneo oleh Datuk Khaled

    Perasmian Prasarana Berbumbung Pasar Borneo oleh Datuk Khaled

    IMG-20150919-WA0021

    Sekitar Majlis Perasmian Prasarana Berbumbung, Pasar Borneo di Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang yang disempurnakan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin  petang tadi.

    #MuafakatPasirGudang