Tag: Azleen Ambros

  • Mohon Kerajaan Pertimbang Lima Tuntutan ‘Rider’ – Azleen Ambros

    Mohon Kerajaan Pertimbang Lima Tuntutan ‘Rider’ – Azleen Ambros

    Semalam (Isnin, 20 September) – Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda PEMUDA UMNO MALAYSIA yang saya turut anggotai telah menganjurkan sidang meja bulat berkenaan tuntutan dan hak penggerak ekonomi gig, khususnya penunggang p-hailing.

    Sebelum sidang meja bulat itu berlangsung, Ketua Pemuda UMNO Malaysia DR ASYRAF WAJDI DUSUKI telah menerima memorandum daripada wakil-wakil persatuan yang mewakili kumpulan ini.

    Antara lain memorandum mengandungi isu, permasalahan serta perincian tuntutan dan hak mereka selaku penggerak ekonomi gig dalam sektor p-hailing ini.

    Tidak dinafikan peranan penggerak ini menyumbang kepada keuntungan besar syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan seperti Grab, Food Panda, Lala Move, Mr. Speedy dan lain-lain.

    Alhamdulillah, hasil sidang meja bulat berkenaan sebulat suara bersetuju mengemukakan 5 resolusi penting menyentuh mengenai soal-soal kebajikan, keselamatan, keadilan dan kelangsungan masa depan penggerak ekonomi gig ini untuk diangkat ke perhatian kerajaan.

    Tuntutan yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan berkaitan keperluan untuk mengiktiraf kumpulan ini selaku pekerja yang akan melibatkan pindaan kepada Akta Kerja 1955, selain to formalise hubungan antara pihak penyedia perkhidmatan dengan kumpulan ini.

    Namun, itu tidak menjejaskan fokus untuk meja bulat tersebut turut memperjuangkan beberapa tuntutan quick win yang boleh diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022, seperti penyelerasan kadar upah dan komisen yang berkadar dengan pelaksanaan dasar gaji minimum.

    In sha Allah, dalam masa terdekat, sekretariat akan mengadakan perjumpaan, pertemuan dan libat urus sebagai usaha melobi pihak-pihak berkepentingan dalam memastikan setiap tuntutan yang terkandung dalam resolusi semalam dapat direalisasikan.

    Azleen Ambros
    Exco Pemuda Malaysia
    Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang

  • Kembalikan Kegemilangan Tabung Haji, RCI Perlu Jujur Dan Terbuka- Noor Azleen

    Kembalikan Kegemilangan Tabung Haji, RCI Perlu Jujur Dan Terbuka- Noor Azleen

    KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Tabung Haji (TH) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

    Ketuanya, Noor Azleen Ambros berpandangan bahawa RCI ini adalah perlu untuk mengembalikan keyakinan fungsi dan kredibiliti peranan TH sebagai sebuah institusi penting bagi umat Islam.

    “RCI ini perlu jujur dan terbuka untuk mengenal pasti sebarang kelemahan tadbir urus, ketidakcekapan governan serta mengenal pasti isu berkaitan integriti dan kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh lembaga mahupun pentadbiran TH sebelum ini.

    “Kebertanggungjawapan (accountability) setiap mereka yang terlibat wajar dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media.

    Tambah beliau lagi, cadangan Kementerian Kewangan untuk meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 perlu hanya dilihat daripada segi merit dan keperluannya setelah semua hasil dan dapatan RCI lengkap dan dibentangkan di Parlimen.

    “Pemuda UMNO Pasir Gudang berpandangan bahawa cadangan terbaharu Kementerian Kewangan ini dilihat mendahului proses RCI berkenaan TH, tanpa mengambil kira hasil serta dapatan RCI yang masih belum berjalan.

    “Apa juga bentuk cadangan daripada kerajaan baik melalui penubuhan RCI dan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 haruslah menyeluruh dengan menumpukan kepada usaha untuk mengangkat kembali martabat, mengembalikan keyakinan serta kredibiliti TH sebagai institusi dan instrumen ekonomi penting di Malaysia,” jelas beliau.

    Jelas Noor Azleen lagi ini kerana TH sangat dekat dengan umat Islam di Malaysia, selain saban tahun terkenal dan mendapat pengiktirafan dunia dengan kecekapan TH menguruskan ribuan jemaah haji, ianya juga telah berperanan sebagai sebuah instrumen ekonomi penting serta diyakini bagi umat Islam di Malaysia.

    “Boleh dipercayai (credible) dan diyakini (trusted), urusniaga dan pelaburan yang suci serta bersih dari sebarang unsur riba, dan patuh syariah adalah antara ciri-ciri yang sememangnya sinonim dengan institusi ini.

    “Maka tidak hairanlah apa juga isu dan perkembangan yang menyentuh TH mendapat perhatian umum serta akan turut menyentuh sensitiviti sebahagian besar umat Islam di Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

  • Sungai Masai Perlukan Segera Kerja-kerja Tebatan Banjir

    Sungai Masai Perlukan Segera Kerja-kerja Tebatan Banjir

    1. Hujan lebat yang berlaku semalam (Isnin, 12 Julai 2021) sekali lagi membawa musibah besar kepada ramai penduduk.
    2. Banyak kawasan yang terkesan akibat banjir kilat terbaharu yang berlaku petang semalam, termasuklah di beberapa perkampungan tradisi di Masai dan Kampung Sungai Rinting, selain beberapa kawasan perumahan di Taman Mawar dan Taman Rinting.
    3. Aliran trafik di Lebuhraya Pasir Gudang dan jalan-jalan utama sekitar Pasir Gudang turut terjejas teruk akibat banjir kilat yang berlaku.
    4. Masalah ini berpunca daripada kejadian hujan lebat yang mana Sungai Masai tidak lagi mampu menampung kapasiti air yang terlalu banyak, sehingga menyebabkan banjir kilat dan limpahan air berlaku di kawasan-kawasan terkesan.
    5. Faktor geografi semulajadi yang mana Masai berada pada kedudukan paling rendah permukaan memburukkan lagi masalah yang melanda.
    6. Ini bukan kali pertama kejadian tersebut berlaku dan ianya merupakan masalah berulang dan makin kerap terjadi ketika musim hujan.
    7. Untuk itu, sudah sampai masa dan ketika kerja-kerja tebatan banjir dilaksanakan pada kadar segera di Sungai Masai yang menjadi punca kepada masalah ini kerap berlaku.
    8. Sungai Masai perlu didalamkan serta dilebarkan bagi menampung kapasiti air yang banyak dan melimpah ketika hujan lebat.
    9. Selain itu, pembinaan komponen-komponen tebatan banjir seperti pintu air, pam air dan benteng tebatan banjir juga perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian terus berulang.
    10. Terdapat juga keperluan untuk meluruskan beberapa lengkok Sungai Masai bagi memastikan kesempurnaan aliran air ketika hujan lebat berlaku.
    11. Semua langkah dan usaha penyelesaian ini memerlukan kerjasama dan keprihatinan semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat.
    12. Ini termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pejabat Daerah Johor Bahru dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi mencari jalan keluar dan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh dan pada kadar segera.

    NOOR AZLEEN AMBROS
    Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang
    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang
    13 Julai 2021

  • Pemuda Umno Pasir Gudang Lapor Polis Isu Kenyataan Lim Kit Siang

    Pemuda Umno Pasir Gudang Lapor Polis Isu Kenyataan Lim Kit Siang

    Julai 6, 2021. Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang membuat laporan polis berkaitan kenyataan tidak bertanggungjawab Lim Kit Siang hari ini.

    Pemuda UMNO Pasir Gudang merasakan kenyataan Ahli Parlimen DAP tersebut bersifat kurang ajar dan tidak menjaga sentiviti agama dalam negara ini.

    Kami menggesa agar beliau segera disiasat dan dikenakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang sedia ada.

    Kebebasan bersuara ada batasnya

  • Sumbangan Dan Makan Tengahari Bersama Pemuda

    Sumbangan Dan Makan Tengahari Bersama Pemuda

    Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang melengkapkan pengisian hujung minggunya dengan lawatan ke Rumah Kebajikan Ar Rayyan yang terletak di Taman Sri Amar, Johor Bahru.

    Selain itu, mereka juga menyerahkan sumbangan dari penyumbang korporat berupa makanan dan keperluan harian untuk kegunaan anak-anak yang menetap di rumah kebajikan terbabit.

    Antara barang yang disampaikan adalah barang keperluan mandi dan penjagaan diri.

    Beriyani Kukus Tanjung Langsat turut sama menaja makan tengahari penghuni Rumah Kebajikan Ar Rayan pada hari ini.

  • MBPG Perlu Berperanan Membantu Golongan Peniaga Kecil Di Pasir Gudang

    MBPG Perlu Berperanan Membantu Golongan Peniaga Kecil Di Pasir Gudang

    9 Febuari 2021- Majlis Bandaraya Pasir Gudang disarankan agar tidak lagi berperanan sekadar menghukum & menguatkuasa semata-mata, malah untuk berperanan secara lebih konstruktif dengan turut mengendalikan kursus-kursus pengendalian makanan & pengurusan restoran secara berkala bagi pengusaha restoran & kedai makan.

    Ahli Majlis MBPG Zon Scientex 2, Noor Azleen Ambros meminta agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan yang lebih proaktif, bertindak selaku pemudah cara bagi membantu golongan sasar termasuk peniaga kecil, pengusaha restoran & penjaja untuk sentiasa berusaha menambah baik status & gred restoran atau kedai makan masing-masing.

    Hal ini menurutnya, selain dapat memastikan aspek kebersihan & kesihatan makanan itu dijaga, malah ia juga dapat memastikan kualiti makanan yang dijual juga adalah pada tahap yang terbaik. Secara tidak langsung, pihak MBPG juga telah membantu ke arah meningkatkan pendapatan perniagaan golongan tersebut.

    Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, selari dengan status Pasir Gudang sebagai sebuah Bandaraya, maka perlu ada satu garis panduan baharu bagi golongan penjaja & peniaga kecil di Pasir Gudang.

    Melalui semua ini, ianya bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada yang berniaga, malah akan turut memberi keselesaan kepada pengunjungnya.

    Hasrat beliau ini telah dizahirkan melalui bermesyuarat secara atas talian bagi Jawatankuasa Kesihatan dan Pelesenan Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang berlangsung pada hari ini.

  • PEMUDA UMNO PASIR GUDANG SEPAKAT TOLAK PERIKATAN NASIONAL

    PEMUDA UMNO PASIR GUDANG SEPAKAT TOLAK PERIKATAN NASIONAL

    Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang bagi tahun 2020 yang berlangsung pada Jumaat, 1hb Januari 2021 juga telah meluluskan beberapa usul.

    Usul-usul yang telah diluluskan secara sebulat suara setelah dibahaskan oleh para perwakilan dari Pemuda UMNO Cawangan antara lain: –

    1. Pertama. Menggesa Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar segera menarik sokongan mereka daripada menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini bagi membolehkan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) dapat diadakan dalam masa terdekat.

    Gesaan ini dibuat bagi mengembalikan kestabilan dan kepastian dalam kerajaan serta perjalanan pentadbiran negara, lebih-lebih lagi dalam menguruskan negara berdepan dengan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

    Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilihat gagal memberikan kestabilan politik dan kepastian dalam tadbir urus negara. Sekaligus merencatkan semua usaha untuk memulihkan negara pasca krisis.Jalan keluar yang terbaik hanyalah dengan membubarkan Parlimen dan menyerahkan semula mandat kepada RAKYAT untuk membuat pilihan terbaik melalui proses demokrasi.

    2. Kedua. Menggesa agar kesemua kerusi dalam Parlimen Pasir Gudang ditandingi oleh wakil-wakil dari UMNO dan Barisan Nasional. Baik bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang, DUN Johor Jaya dan DUN Permas.

    PPBM akan cuba menuntut kerusi DUN Permas sebagai milik mereka. Namun, satu perkara yang PPBM perlu ingat ialah PPBM menang dalam PRU-14 ketika mereka menjadi sebahagian Pakatan Harapan (PH). Ketika itu PPBM juga bertanding menggunakan logo PKR, dan bukan logo mereka sendiri.

    Beberapa siri Pilihanraya Kecil (PRK) membuktikan PPBM bukanlah sebuah parti yang kuat dan tidak diminati rakyat. Mereka gagal mempertahankan kerusi milik mereka dalam PRK DUN Semenyih (tewas kepada calon UMNO). PRK Parlimen Tanjung Piai menjadi saksi betapa lemah dan hinanya PPBM apabila tewas dengan sebegitu teruk dengan calon BN dari parti MCA.

    Apatah lagi apabila ADUN Permas sendiri ditolak oleh perwakilan dari partinya sendiri yang tak seberapa, apabila tewas dalam pemilihan parti.

    Terima kasih dan tahniah kepada semua pencadang dan pembahas yang telah membawa usul Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang dengan baik dan jayanya.

    Moga-moga usul dari Pemuda Pasir Gudang ini akan menjadi panduan dan pedoman bagi pucuk pimpinan dalam menentukan hala tuju dan masa depan parti seterusnya.

    Noor Azleen Ambros
    Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang

  • Pemuda Umno Pasir Gudang pertahan pelantikan Khaled di YPG

    Pemuda Umno Pasir Gudang pertahan pelantikan Khaled di YPG

    Pemuda Umno Pasir Gudang hari ini tampil mempertahankan pelantikan Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG).

    Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata sebagai sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan di Johor, Umno mempunyai hak yang sama diterima pemimpin lain dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Siapa pun yang akan dilantik untuk menjawat jawatan dalam mana-mana yayasan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor – dan dalam hal ini, YPG – dia kena mewakili kerajaan semasa.

    “Dalam kes ini Umno dengan Bersatulah, kan?” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

    Noor Azleen berkata demikian sebagai mengulas pertikaian dibangkitkan pemimpin Bersatu atas pelantikan Khaled – yang juga bekas menteri besar Johor – sebagai pengerusi YPG.

  • #VIDEO PEMUDA PASIR GUDANG ANJUR PROGRAM KAYUHAN PRIHATIN  DUN PERMAS

    #VIDEO PEMUDA PASIR GUDANG ANJUR PROGRAM KAYUHAN PRIHATIN DUN PERMAS

    PASIR GUDANG, 24 SEPTEMBER – Inilah keadaan masyarakat di Pasir Gudang. Bernilai insan dan bersifat insaniah. Bersama menjayakan projek kayuhan prihatin.

    ADUN Permas merangkap Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin bersama 500 penduduk tempatan menyertai aktiviti berbasikal pada Program Kayuhan Prihatin DUN Permas ‘Fun Ride’ bersama beliau di Pasir Gudang, semalam.

    Menurut saudara Noor Azleen Ambrose, yang merupakan pengarah bagi program terbabit berkata, sebanyak 150 buah basikal sumbangan Yayasan My Kasih turut akan digunakan oleh penduduk yang ingin berkayuh bersama MB Johor sebelum diserahkan kepada KRT atau SRS terpilih sekitar Parlimen Pasir Gudang.

    IMG-20170924-WA0001

    Program sejauh tujuh kilometer itu bermula di Balai Raya Kampung Kuala Masai dan singgah di Kampung Sungai Rinting sebelum berakhir di Kampung Pasir Gudang Baru.

    Pada program itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf seperti bantuan kewangan, barang keperluan harian dan kerusi roda.

    Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim.

  • UMNO Pasir Gudang Bawa Usul Pekerja Asing, Kualiti Pekerjaan dan Perumahan Rakyat

    UMNO Pasir Gudang Bawa Usul Pekerja Asing, Kualiti Pekerjaan dan Perumahan Rakyat

    PASIR GUDANG, 4 Ogos 2017 – UMNO Bahagian Pasir Gudang akan mengemuka dan membahaskan usul berkaitan tahap kebergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing, dalam mesyuarat perwakilan tahunannya kali ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Usul UMNO Bahagian Pasir Gudang, Dahari Hassan berkata mesyuarat perwakilan yang bakal berlangsung pada 5 Ogos ini turut akan membincangkan mengenai kualiti dan jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam pasaran kerja di Malaysia.

    “UMNO Pasir Gudang melihat pelbagai isu berkaitan warga asing serta tahap kebergantungan ekonomi negara pada hari ini terhadap pekerja asing perlu ada penyelesaian yang lebih holistik dan menyeluruh.

    “Kita tidak boleh membiarkan warga asing terus membanjiri banyak sektor pekerjaan yang terdapat dalam pasaran kerja pada hari ini akibat terdapat banyak kelemahan melibatkan dasar, penguatkuasaan selain ketirisan yang mungkin berlaku di beberapa buah agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Tambahnya, beberapa cadangan mengenai isu dan hal berkaitan keperluan rakyat melibatkan perumahan juga akan dibincangkan oleh sidang perwakilan dalam mesyuarat tersebut.

    “Beberapa perkara berkaitan perumahan terus mendapat perhatian serta hangat diperbincangkan di pelbagai peringkat akar umbi, jadi UMNO Bahagian Pasir Gudang berpandangan bahawa wajar isu ini diangkat ke peringkat yang lebih tinggi agar dasar dan strategi penyelesaian berkaitan permasalahannya mendapat perhatian pihak kerajaan,” ujarnya lagi.

    Usul-usul tersebut akan dibentangkan oleh Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Gudang, Roslan Hassan dan Ibrahim Ismail serta wakil Pergerakan Puteri, Siti Norhidayah Nasrun.

    Dahari Hassan yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Gudang turut akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul tersebut.

    Menjadi kelaziman bagi mesyuarat perwakilan tahunan organisasi UMNO di setiap Bahagian untuk mencadang dan membahaskan beberapa usul berkaitan ekonomi, pendidikan, agama dan politik tanah air.

    Usul tersebut akan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan dibawa ke perhatian pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan kebangsaan.

    Hasil dan rumusan berkaitan dengannya akan menjadi panduan pihak kerajaan dalam merangka dan memperkukuh dasar-dasar berkaitan sedia ada.

    Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2017 akan berlangsung di Dewan Utama, Kampus UniKL-MITEC Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Masai.

    Majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada pukul 9.00 pagi.

    Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.