Day: January 4, 2014

  • Majlis Sumbangan Baucer Keperluan Sekolah

    Majlis Sumbangan Baucer Keperluan Sekolah

    Nusajaya 4 Jan: Anjung Nusajaya telah berlangsung Majlis Sumbangan Baucer Keperluan Sekolah anjuran Iskandar Investment Berhad, di rasmikan oleh YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin selaku Menteri Besar Johor merangkap Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang.

    100 pelajar yang kurang berkemampuan sekitar Pasir Gudang telah terpilih sebagai penerima sumbangan ini, manakala 100 pelajar di sekitar kawasan nusajaya juga telah menerima sumbangan ini.

  • Johor Menolak Pusat Perjudian

    Johor Menolak Pusat Perjudian

    NUSAJAYA 4 Jan : Kerajaan negeri Johor sehingga kini tidak menerima sebarang  permohonan, cadangan mahupun perancangan daripada mana-mana pihak untuk membuka pusat perjudian atau kasino.

    Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dakwaan kononnya pusat perjudian akan dibuka di sebuah hotel di bandar raya ini seperti yang tersebar di Internet merupakan satu penulisan yang nakal.

    “Saya tidak tahu dari mana berita ini datang, alih-alih ia timbul dan setahu saya hendak buat kasino, lesennya dikawal oleh kerajaan pusat dan bukannya kerajaan negeri,” katanya selepas menghadiri program bantuan persekolahan anjuran Iskandar Investment Berhad di pasar raya Mydin di sini hari ini.

    Beliau berkata kerajaan negeri setakat ini tidak terfikir untuk menerima sebarang bentuk kewujudan tempat-tempat perjudian.

    Katanya jika ada permohonan untuk membuka pusat berkenaan, kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi melihat perkara berkenaan secara lebih mendalam.

    Sementara itu Mohamed Khaled berkata Iskandar Malaysia akan lebih selektif dalam memilih pelabur namun sangat mengalu-alukan mereka yang ingin melabur di kawasan luar wilayah pembangunan itu.

    Beliau berkata tumpuan Johor kini adalah bagaimana pelaburan yang masuk memberi impak kepada rakyat terutama dalam pembangunan ekonomi seperti peluang pekerjaan dan sebagainya.

    “Jika ada pelabur yang ingin melabur di luar kawasan itu kita sedia menerima kerana ia dapat menyediakan peluang pekerjaan serta boleh membantu ekonomi kawasan setempat,” katanya. (Bernama)

  • SPRM nafi siasat pembelian Mercedes-Benz

    SPRM nafi siasat pembelian Mercedes-Benz

    SHAH ALAM : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan telah memulakan siasatan berhubung pembelian kereta Mercedes-Benz S300L oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

    Menerusi satu kenyataan media semalam, SPRM bertegas tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung siasatan ke atas pembelian tersebut.

    Sehubungan itu, sebarang kenyataan media rasmi SPRM hanya akan dikeluarkan melalui portal SPRM sahaja iaitu www.sprm.gov.my.

    Terdahulu dalam laporan sebuah laman web, SPRM dikatakan telah mula menyiasat pembelian Mercedes-Benz oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kegunaan rasmi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

    Laporan itu juga menyebut, SPRM cuba mengaitkan pembelian tersebut daripada Lowe Motor Sdn Bhd dengan taikun Tan Sri Tan Kok Ping yang dipercayai mempunyai saham dalam syarikat itu.

    Selasa lalu, dalam keyataan sebuah akhbar, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait mengumumkan Guan Eng akan menggunakan kereta rasmi jenis Mercedes Benz S300L bernilai RM657,218 tetapi kenderaan itu dapat dibeli dengan harga istimewa iaitu RM298,263.75 oleh kerajaan negeri. (sinar)

  • Johor Tutup Pusat Hiburan Keluarga Berunsur Judi Mula 1 Januari

    Johor Tutup Pusat Hiburan Keluarga Berunsur Judi Mula 1 Januari

    Johor Bahru 4 Jan: Kerajaan Johor mengarahkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya melancarkan operasi bagi memastikan semua pusat hiburan keluarga yang berunsurkan perjudian di negeri ini ditutup sepenuhnya.

    Langkah itu dilaksanakan berikutan keputusan kerajaan negeri tahun lalu untuk tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan terbabit, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latiff Bandi, berkata operasi itu akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan premis hiburan itu dapat ditutup sepenuhnya.

     “Kerajaan negeri sudah mengarahkan semua PBT di negeri ini mengambil tindakan terhadap pusat hiburan keluarga berunsurkan perjudian yang masih ingkar terhadap undang-undang baru ini.
    Tak perbaharui lesen

    “Operasi secara besar-besaran juga akan dilakukan dari semasa ke semasa. Malah, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan untuk tidak menyambung lesen lebih 100 permohonan pusat hiburan yang berunsurkan perjudian pada tahun lalu,” katanya kepada BH, semalam.
    Pada Julai tahun lalu, BH dalam laporan berita eksklusifnya melaporkan mengenai keputusan kerajaan negeri untuk memansuhkan lesen pusat hiburan keluarga di seluruh negeri itu yang bertujuan membendung penularan dan peningkatan masalah sosial, terutama membabitkan generasi muda.

    Menerusi langkah itu, Johor menjadi negeri pertama di negara ini yang menguatkuasakan larangan terbabit dan inisiatif itu dilihat akan membolehkan pelbagai kegiatan haram yang bertopengkan pusat hiburan terbabit dapat dikawal dan dibanteras.

    Kuat kuasa 1 Januari

    Abd Latiff berkata, menerusi langkah sama, pihaknya menjangkakan lebih 500 premis pusat hiburan keluarga berunsurkan perjudian yang masih beroperasi di negeri ini akan dikenakan tindakan penamatan lesen serta-merta, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

    “Sebelum ini, kita sudah mengambil keputusan untuk tidak menyambung lesen pusat hiburan keluarga yang berunsurkan perjudian. Bagaimanapun, pusat hiburan keluarga yang mempunyai baki tempoh lesen masih dibenarkan beroperasi sehingga 31 Disember lalu.

    “Bermula Ahad lalu, kita bukan saja tidak menyambung lesen pusat hiburan keluarga berunsurkan perjudian, malah mana-mana premis yang masih mempunyai baki tempoh lesen untuk beroperasi juga akan dibatalkan dengan serta- merta,” katanya. (Berita Harian)